Oleh: Yudep Apoi
Kekalahan teruk BN di Uma Bakah pada pilihanraya kali ini memberi tamparan hebat kepada penyokong-penyokong kuat BN di Uma Bakah. Ada beberapa faktor dan isu-isu yang dimainkan oleh pihak calon bebas sehingga menyebabkan penduduk beralih undi kepada calon bebas.
Isu-isu yang mengatakan YB Billy tidak pernah mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Contohnya; isu kad pengenalan. Di Uma Bakah, ada dikalangan penduduknya yang tidak mempunyai kad pengenalan. Pelbagai usaha didakwa telah dilakukan untuk mendapatkan pengenalan untuk penduduk ini termasuklah meminta bantuan daripada wakil rakyat, namun semuanya gagal.
Isu tanah. Isu inilah yang paling mempengaruhi mereka yang berkebun dan bertani. Kebanyakkan penduduk Uma Bakah membuat kebun dan berladang ditanah yang berdekatan dengan jalan. Tanah ini diusahakan kerana mereka tidak ada alternatif lain. Tanah yang telah diagihkan kepada penduduk pula terletak jauh dan tidak ada jalan yang membolehkan kenderaan membawa mereka ke situ. Walaubagaimanapun, terdapat ura-ura dimana tanah yang telah sekian lama diusahakan ini akan “dirampas” daripada mereka oleh kompeni-kompeni sawit. Isu ini sangat merisaukan penduduk kampung. Aduan telah dibuat, namun kata putus belum juga diketahui. Ini menyebabkan penduduk masih tergantung dan tidak tahu apa yang patut dibuat.
Isu jalan ke tanah persendirian (lot). Penduduk berfikir bahawa pihak pembangkang(Calon Bebas) mampu membawa masalah mereka ke pihak bertanggungjawab setelah sekian lama mereka meminta daripada calon BN supaya jalan dapat dibina menuju ke lot mereka agar tanah itu dapat diusahakan.
Isu pampasan rumah. Isu ini juga sangat berkesan dan dibangkitkan oleh campaigner calon bebas. Penduduk di Uma Bakah semakin hari semakin merasakan kesempitan hidup di Asap. Ianya jauh berbeza dengan kehidupan semasa di kampong lama. Walaupun telah selama 8 tahun menetap di Asap, masih ada yang tidak dapat menyesuaikan diri sejajar dengan perubahan cara hidup di Asap. Penduduk berpendapat bahawa pampasan rumah seharusnya diberikan kepada mereka yang telah berpindah. Penduduk meresakan adalah tidak adil sekiranya papas an rumah tidak diberikan kepada mereka sedangkan penduduk Uma Bakah yang tidak ikut berpindah telah dilangsaikan pampasan mereka.
Isu kepercayaan atau beragama dan tingkahlaku calon dan orang-orang BN. Isu ini dibangkitkan oleh salah seorang kempener ketika berucap semasa rapat umum calon bebas dengan masyarakat Uma Bakah pada 01/03/2008 di ruai Ketua Kampung Uma Bakah. Dia mendakwa bahawa calon bebas adalah seorang yang tidak berjudi, tidak minum arak, tidak gila perempuan seperti “mereka” yang dari BN. Maklumlah masyarakat Uma Bakah adalah masyarakat yang kuat beragama, jadi ada dikalangan mereka yang termakan oleh isu ini.
Isu BN yang ego. Kebanyakkan penduduk tidak suka dengan ucapan campaigners BN ketika mereka mengadakan rapat umum dengan penduduk Uma Bakah pada 28/02/2008. Mereka berkata ucapan-ucapan ini terlalu ego seolah-olah BN telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan memenuhi semua keperluan rakyat selama ini. Ramai yang berkata, BN hanya tahu menabur janji-janji kosong. Sementara itu, calon bebas telah Berjaya memenangi hati rakyat dengan sikap “low profile”. Mereka menekankan isu-isu “keselesaan” penduduk disamping berjanji akan memberi “sagu hati” kepada penduduk tidak kira mereka menyokong BN atau calon bebas.
Isu penangkapan duit “sagu hati”. Setelah sekian lama budaya mengundi di daerah Belaga dipegaruhi nilai wang yang mereka terima dari mana-mana calon yang bertanding, mereka tidak biasa dengan keadaan mengundi tanpa “wang”. Sekali lagi calon bebas mendapat faedah hasil daripada tindakkan penahanan wang “sagu hati” ini. Mereka mendakwa bahawa wang itu tidak sepatutnya ditahan. Mereka mempersoalkan kenapa? Tidak kasihankah BN kepada mereka yang memerlukan wang? Bukan selalu duit boleh didapati secara percuma? Mungkin duit tersebut boleh menjelaskan bil elektrik mereka selama beberapa bulan? Inilah yang menambahkan kebencian penduduk terhadap BN. Harus diingat bahawa penduduk di sini tidak tahu bahawa politik wang adalah salah dari sisi undang-undang. Yang penting bagi penduduk ialah, asalkan dapat menjelaskan bil elektrik, membelanjakan wang tersebut untuk barang dapur untuk beberapa bulan mendatang, mereka tidak akan mempedulikan hal-hal lain termasuklah hakikatnya mereka telah dibeli dan maruah merekah digadai. Bagi penduduk, maruah tiadak penting, yang penting adalah “WANG”. Sebenarnya, isu inilah yang banyak mengubah hati pengundi pada saat akhir.
Kemungkinan terdapat dikalangan pekerja-pekerja kem balak bertaruh keputusan undi juga. Majoriti mereka bertaruh atas calon bebes. Oleh sebab itu, mereka membuang undi kepada calon bebas semata-mata kerana ingin memenangi pertaruhan.
Kesimpulannya, Sekiranya BN ingin menjadikan Uma Bakah sebagai kubu kuatnya, mereka perlulah “turun dan berpijak dibumi”. Mereka perlu datang menjelaskan keadaan-keadaan sebenarnya kenapa projek itu, projek ini tidak dapat diberi. Mereka kena mengambil berat keperluan-keperluan rakyat. Yang paling penting, kotakan janji-janji yang telah ditabur ketika berkempen. Selain itu, selesaikan dahulu isu-isu rakyat. Isu-isu ini dapat diselesaikan dengan meningkatkan kekerapan bertemu rakyat. Menurut pemerhatian saya, sangat jarang calon-calon daripada BN datang menjenguk rakyat di Uma Bakah. BN mampu menang di Uma Bakah sekiranya isu-isu yang telah dijelaskan di atas dapat diselesaikan. Selain itu, orang kampung kita memang terbukti sangat pandai memburuk-buruk kan nama seseorang sehingga pemimpin-peminpin yang kita anggap berwibawa selama ini terserlah segala kehebatan mereka dalam memainkan peranan sebagai medium untuk memburuk-burukkan orang mahupun dari calon BN atau bebas. Sebenarnya tingkahlaku sebegini sangat tidak elok untuk perkembangan politik di kampung kita kerana generasi berikutnya akan mewarisi segala sifat-sifat ini. Terakhirnya, sikap dan tingkahlaku orang kita juga telah berubah. Masing-masing berlagak pandai. Malah tidak keterlaluan saya katakan di sini bahawa orang kampung kita menganggap kepandaian mereka sama taraf dengan orang yang berpendidikkan tinggi. Ini terbukti apabila mereka tidak menghormati langsung ucapan-ucapan campaigners dan mempersendakan mereka dari belakang ketika ucapan diberi. Tidak adakah rasa hormat kita walaupun sedikit?
Makanya... generasi muda, sekiranya kita ingin terjun dalam bidang politik... berfikirlah dua kali. Besar risikonya. Selalu juga saya bertanya kepada diri saya, kenapa penduduk kampung kita sangat benci dengan Billy Abit? Apa kah pembohongan-pembohongan yang telah dia lakukan terhadap setiap penduduk kampung kita? seperti yang didakwa? Dianak tirikah kita di Uma Bakah? Masyarakat iban di Balleh kah yang menjadi perhatian Billy? Benarkah Billy tidak pernah datang menjengguk kita di Uma Bakah? Saya teringin sangat mengetahui bukti-bukti dan ingin melihat kebenaran dakwaan-dakwaan ini. Kita ini jarang berada di kampung, jadi adalah tidak adil kalau kita terus menghakimi dia tanpa kajiselidik terlebih dahulu. Setahu saya, Billy telah memberi keutamaan untuk kampung kita. Walaupun dia tidak pernah menang dalam penjumlahan undi di kampung kita, dia sanggup menebal mukanya untuk datang ke kampung kita untuk menghadiri majlis-majlis tertentu seperti Fun Rising Dinner tahun 2006 dan tahun 2007. Malah dia juga sanggup menderma untuk Fun Rising tersebut. Projek parit juga dia beri kepada Uma Bakah walaupun penduduk Uma Bakah tidak sukakannya. Untuk pertanian? Baja, racun dan kursus-kursus juga diberi. Isu sekolah? SMK Bakun di Kapit... setahu saya SK Bakun ada di ASAP. Pemberian Tabung Amanah Bakun kepada penduduk yang bukan berasal dari Belaga?.. sebuah buku telah diterbitkan yang menyenaraikan penerima-penerima biasiswa sejak 10 tahun lalu. Melalui senarai itu, tidak pula saya tengok senarai orang yang luar dari daerah Belaga sebagai penerima di situ? Malah dengan bantuan Billy, 5 juta akan ditambah oleh kerajaan pusat untuk dana Tabung Amanah Bakun.
Ulasan saya ini tidak memihak kepada mana-mana pihak. Saya mengulas berdasarkan apa yang saya selidik dan baca. Kita generasi muda, berpendidikkan dan saya percaya setiap kita mempunyai "kewarasan" serta "analitikal skill" yang tinggi, pandai-pandailah kita berfikir dan menyelidik sebelum "bercakap". Jangan menelan bulat-bulat "kuih pau" yang diberi kepadakan kepada kita sebelum kita mengetahui apa "inti" di dalamnya. Kita tidak tahu kadang-kadang ada "inti" ini ditukar dengan cili dan bukannya "inti" kaya/kacang. Makanya, kalu "inti"nya kacang/kaya sedap... tetapi siapa yang termakan "inti" cili... dialah yang terasa pedasnya. Kita perlu berpandangan jauh dan melebarkan lagi pemikiran kita yang sempit. Berusahalah jangan terlalu memikirkan kepentingan diri sendiri. Seseorang pemimpin yang baik tidak hanya melihat dan mengambil kira impak jangka masa pendek saja akibat daripada keputusan yang dibuat. Pemimpin perlulah menimbangkan impak keputusannya dalam jangkamasa sederhana dan jangkamasa panjang.
» Pandangan anda...
» read...
» Faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan BN di Uma Bakah
» Semak Permohonan Tabung Amanah Bakun
» Masa itu emas?
» SIAPA SEBENARNYA TAKUT UMNO MASUK SARAWAK ?
» Sepatutnya kita buat begini...
» What to do! - Bakun Dam